Friday, 24 May 2019

Nasihat Yang Dibenci Oleh Pesakit Kemurungan

As'salam.. Lama Ai tak mencoret.. Fuuhhhh.. dah nak masuk bulan keenam 2019.. Sorry sangat-sangat.. 

Ai terbaca artikel yang menarik.. So Ai nak share supaya lebih ramai tahu, adakalanya nasihat yang diberi membuatkan pesakit kemurungan lebih murung.. 
**************


Gangguan mental seperti kemurungan sehingga hari ini masih sukar diterima oleh masyarakat sebagai salah satu daripada jenis penyakit meskipun mereka yang menghidapnya adalah lebih ramai berbanding penyakit yang dapat dilihat secara fizikal. Apa yang menyedihkan ialah mereka yang menghadapi masalah gangguan mental seperti kemurungan ini menderita dalam diam.
Adakah anda peka jika insan tersayang atau kawan rapat mengalami kemurungan? Sehubungan itu, JANGAN GUNAKAN NASIHAT INI jika anda berhadapan dengan PENGHIDAP KEMURUNGAN.
  1. “Anda perlu bebaskan diri daripada kemurungan”
    Nasihat ini hanya akan menjadikan penghidap kemurungan menjadi lebih murung. Antara perubahan yang boleh dilihat ialah mengasingkan diri, putus harapan, tiada selera makan dan masalah tidur. Jika anda perhatikan gejala-gejala ini, pastikan mereka mendapat rawatan terutamanya jika keadaan ini berlarutan lebih dari dua minggu.
  2. “Orang lain jauh lebih teruk” 
    Nasihat ini tidak akan membantu individu menyelesaikan masalah mereka. Individu yang murung hanya memerlukan seseorang untuk berada di sisi dan memberi sokongan. Anda tidak perlu berkata apa-apa jika itu tidakmembantu mereka. Walau bagaimanapun, anda juga boleh memberitahu mereka yang mereka boleh menjadi lebih baik dan anda akan berada di sisi untuk menyokong mereka.
  3. “Kehidupan adalah sukar”
    Nasihat ini mungkin akan mengeruhkan lagi perasaan penghidap kemurungan, bukannya membantu mereka. Sebaliknya, anda boleh membantu mereka dengan menunjukkan perasaan empati dan bersedia untuk membantu merekmenghadapinya.
  4. “Anda perlu membiasakan diri dengannya”
    Nasihat ini menunjukkan mesej yang salah. Ia menguatkan lagi rasa pengasingan yang dialami oleh penghidap kemurungan. Cara terbaik untuk membantu mereka adalah dengan menghantar teks atau menghubungi mereka agar mereka tahu ada orang yang ambil berat tentang mereka.
  5. “Anda terlalu sensitif”
    Nasihat ini akan memperkecil penghidap kemurungan kerana mereka akan merasakan mereka tidak berguna. Pendekatan yang terbaik adalah dengan mengalihkan fikiran negatif kepada sesuatu yang bermanfaat.
  6. “Hidup perlu diteruskan”
    Memberitahu penghidap kemurungan yang kehidupan perlu diteruskan adalah seperti mencurah air di daun keladi. Ia akan menunjukkan yang anda tidak prihatin terhadap masalah penghidap kemurungan.
  7. “Keluar dan berseronoklah”
    Nasihat mencadangkan aktiviti yang menyeronokkan tidak langsung membantu, melainkan jika anda bersedia untuk menemani mereka yang kemurungan dan menggalakkan mereka untuk mencubanya dengan perlahan-lahan. Membantu dengan sokongan bermaksud berada di samping mereka atau sekurang-kurangnya menghubungi mereka bagi mengingatkan yang mereka perlu lakukan “X” hari ni dan “Y” esok.
  8. “Sakit-sakit adalah perkara yang normal”
    Lazimnya, penghidap kemurungan cenderung mengadu mengalami sakit-sakit fizikal (simptom somatik), bukannya masalah perasaan dan motivasi. Jangan perlekehkan aduan mereka tentang kesakitan yang mereka alami. Sebaliknya, galakkan mereka untuk mendapatkan rawatan.
  9. “Terlalu banyak perkara yang anda telah terima dan perlu bersyukur dengannya”
    Penghidap kemurungan tidak mahu tahu tentang kesyukuran dan terhutang budi. Kebimbangan utama mereka ialah keletihan dan hilang minat yang telah sebati dalam diri mereka. Anda boleh mengingatkan mereka bahawa kemurungan tidak semestinya kekal selama-lamanya  dan terdapat rawatan yang dapat membantu mereka.
  10. “Bergembiralah!” 
    Menasihati penghidap kemurungan supaya; “bergembiralah” akan memberi kesan yang bertentangan. Ia akan menimbulkan salah faham seolah-olah keadaan mereka sangat teruk dan tidak berguna langsung. Penghidap kemurungan akan cenderung menangis dan lebih bersedih.
  11. “Anda seorang yang  kuat dan semua akan menjadi baik-baik saja”
    Ya, terdapat individu yang kuat dan dapat mengatasi kesedihan atau putus asa. Sebaliknya, penghidap kemurungan mungkin berasa bahawa hidup tidak bermakna apa-apa. Jadilah pendengar yang baik dan tenangkan individu yang mengalami kemurungan.
  12. “Anda mesti berhenti berasa kasihan terhadap diri sendiri” 
    Nasihat ini seolah-olah menyatakan bahawa penghidap kemurungan mempunyai personaliti yang lemah dan kurang upaya dalam menghadapi kehidupan. Sebaik-baiknya, bantulah mereka dengan mendengar masalah dan fahami perasaan mereka.
  13. “Anda perlu mengambil vitamin untuk atasi kemurungan anda” 
    Jangan tawarkan atau cadangkan ubat-ubatan yang dibeli di farmasi tanpa berjumpa dengan doktor. Sebaik-baiknya, galak dan temani penghidap kemurungan untuk mendapatkan rawatan pakar.
  14. “Anda perlu hubungi saya” 
    Jika anda adalah teman yang memahami, anda perlu menjadi orang yang mudah dihubungi oleh penghidap kemurungan dan tunjukkan kepada mereka yang anda ambil berat tentang mereka.
  15. “Anda perlu membeli pakaian yang lebih baik”
    Almari pakaian penghidap kemurungan mungkin kelihatan tidak kemas dan bersepah. Mengkritik keadaan mereka tidak akan mengubati kemurungan, sebaliknya ajaklah mereka keluar membeli-belah membeli pakaian baharu untuk meningkatkan motivasi diri mereka.
  16. “Anda tahu yang setiap orang mempunyai masalah tersendiri”
    Implikasi apabila anda menyatakan nasihat ini ialah seolah-olah penghidap kemurungan sebenarnya telah membuat pilihan untuk menjadi sengsara dan tidak gembira. Sebaliknya, lebih baik anda cuba untuk memahami masalah mereka dan galakkan mereka untuk mendapatkan bantuan.
  17. “Anda perlu cuba dengan bersungguh-sungguh” 
    Sebagai orang yang rapat, anda perlu memberi motivasi untuk penghidap kemurungan kembali bersemangat dalam hidup. Sokongan ahli keluarga dan teman-teman rapat adalah penting dalam menentukan sama ada individu itu dapat pulih daripada kemurungan.
  18. “Anda seharusnya sudah pulih sekarang”
    Penghidap kemurungan mempunyai tahap kesabaran yang rendah. Mereka merasakan tiada siapa memahami apa yang mereka sedang lalui. Oleh itu, tunjukkan empati dan simpati agar mereka lebih positif dalam hidup.
  19. “Anda perlu belajar untuk hidup dengannya”
    Nasihat “anda perlu belajar hidup dengan kemurungan” tanpa kemahiran daya tindak seumpama memasuki sebuah terowong yang gelap tanpa menjumpai jalan keluar.

Tips untuk membantu penghidap kemurungan:
  • Kebanyakan pakar bersetuju bahawa dengan berada di samping penghidap kemurungan dan memberi sokongan kepada mereka akan sangat membantu.
  • Anda boleh belajar tentang kemurungan; sebab-sebab dan simptom-simptomnya.
  • Anda perlu menggalakkan penghidap kemurungan untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan.
  • Anda boleh menggalakkan mereka untuk menyertai forum dalam talian yang khusus untuk penghidap kemurungan. Ini merupakan medium yang sesuai untuk mendapatkan sokongan walaupun kesannya tidak seperti dalam kehidupan hidup yang sebenar.
  • Anda tidak seharusnya mengkritik dan  memberikan gambaran bahawa kemurungan itu adalah kesalahan mereka sendiri.
  • Anda perlu menggalakkan dan menyelia rutin harian mereka seperti makan, senaman dan tidur.
  • Sekiranya penghidap kemurungan menyatakan mengenai idea bunuh diri, pastikan anda mampu membincangkan secara terbuka mengenainya. Apa yang penting ialah membincangkannya tetapi mencadangkan penyelesaian yang berbeza.
Semakan Akhir:17 Januari 2017
Penulis:Pn. Khadijah bt. Minhat
Akreditor:Pn. Ruhana bt. Mahmod
SUMBER

Nota Jari: Apa yang Ai perlukan hanyalah teman yang boleh mendengar tanpa menghukum..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...