Friday, 7 July 2017

Pembunuh Senyap Wanita..

Baru-baru ni, kita dikejutkan dengan berita kematian ibu yang baru habis berpantang.. Sebagai ibu, Ai berasa sedih andainya Ai ditakdirkan pergi disaat anak-anak masih kecil..
Pulmonary Embolism’: Pembunuh Senyap Wanita – Dr. Mardiana Kipli

Pulmonary-embolismPenyakit pulmonary embolism (darah beku dalam saluran darah ke paru-paru) merupakan salah satu punca utama yang menyebabkan kematian ibu mengandung dan ketika tempoh berpantang iaitu 6 minggu selepas bersalin. Kejadian ini jarang berlaku namun, ianya boleh menyebabkan kematian mangsa secara mengejut. Kebanyakkan kes, hanya dapat disahkan oleh pihak forensik ketika autopsi post-mortem. Ia merupakan salah satu punca utama yang menyumbang kepada statistik maternal mortality (kematian ibu mengandung dan semasa berpantang) selain daripada kejadian tumpah darah selepas bersalin dan penyakit darah tinggi. Oleh yang demikian, mengenali tanda-tanda awal gejala ini sangat penting sebagai langkah pencegahan sebelum keadaan menjadi lebih parah dan berakhir dengan kematian.

Darah wanita sewaktu mengandung adalah lebih pekat daripada biasa. Selain itu, bayi yang membesar dalam kandungan akan menghimpit saluran darah utama di dalam badan ibu mengandung menyebabkan aliran darah kurang lancar. Kebiasaannya, fenomena darah beku akan terbentuk di saluran darah kaki dahulu. Apabila darah beku berkumpul dengan lebih banyak dan besar di bahagian kaki, ianya akan menyebabkan penyakit deep vein thrombosis. Mangsa akan mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan mengadu sakit pada betis ketika berjalan. Sekiranya masalah ini tidak diberi rawatan awal, darah beku pada saluran darah kaki ini akan pecah pada bila-bila masa dan menyebabkan saluran darah ke paru-paru tersumbat akibat darah beku ini yang dipanggil pulmonary embolism. Selain itu, terdapat juga beberapa kes di mana darah beku itu berasal daripada injap jantung yang dihidapi oleh pesakit-pesakit jantung.

“Dulu saya bersalin, ok jer. Tak ada pun apa-apa masalah. Kenapa kali ini doktor kata saya berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini?’

Semua wanita yang mengandung dan juga dalam tempoh berpantang adalah terdedah untuk mendapat penyakit pulmonary embolism kerana darah anda lebih pekat daripada biasa. Namun begitu, risiko anda untuk mendapat pulmonary embolism semasa mengandung menjadi lebih tinggi sekiranya anda:

Berumur lebih daripada 35 tahun
Mempunyai anak lebih daripada 2 orang
Lumpuh dan tidak boleh bergerak terus melebihi 3 hari
Berat melebihi 80kg atau BMI lebih 30kg/m2
Menjalani pembedahan caesarean
Menaiki penerbangan jarak jauh melebihi 4 jam
Dehidrasi
Pernah mendapat penyakit darah beku sebelum mengandung atau pada kandungan dahulu
Tumpah darah semasa bersalin (melebihi 1 liter)
Mendapat transfusi darah semasa mengandung atau selepas bersalin
Penyakit yang menyebabkan kelikatan darah seperti thrombophilia, protein S deficiency, anti phospholipid syndrome
Apa-apa pembedahan yang dilakukan sepanjang tempoh mengandung atau semasa berpantang. Contohnya pembedahan appendicitis, pembedahan untuk patah tulang atau apa-apa pembedahan yang dilakukan semasa bersalin atau selepas bersalin.
Kandungan kembar
Penyakit pre-eklampsia (darah tinggi yang menyebabkan air kencing mengeluarkan protein)

Setakat ini, sukar untuk meramalkan penyakit ini bila ianya akan berlaku. Selalunya tanda-tanda awal akan diambil ringan oleh mangsa. Sekiranya keadaan ini tidak dirujuk kepada doktor terdekat, majoriti mangsa sudahpun pengsan di rumah. Terdapat juga kes wanita datang ke hospital dalam keadaan koma atau tidak bernyawa lagi. Ini disebabkan darah beku yang pecah ini boleh menyumbat saluran darah paru-paru dengan cepat dan secara tiba-tiba. Akibatnya, mangsa akan berhenti bernafas dan jantung akan berhenti secara tiba-tiba.

Tanda-tanda awal adalah:

Kembang kaki dan sakit pada betis (kebiasaannya sebelah kaki sahaja)
Sukar untuk bernafas
Sakit dada
Batuk berdarah
Nadi sangat laju

Sekiranya anda mempunyai simptom sebegini, sila dapatkan pemeriksaan di hospital atau klinik berdekatan. Doktor akan menjalani pemeriksaan kepada anda untuk melihat sama-ada anda berisiko tinggi atau tidak untuk mendapat pulmonary embolism. Pemeriksaan lanjut seperti ECG (alat untuk memeriksa ritma jantung), X-ray, pemeriksaan darah atau pun CTPA (CT scan untuk melihat saluran darah ke paru-paru) mungkin perlu dilakukan segera. Sekiranya, semua keputusannya negative, barulah pihak doktor akan menarik masalah lega dan yakin bahawa anda mungkin mendapat simtom sebegini disebabkan penyakit lain.

‘Sekiranya saya tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, apakah yang patut saya lakukan untuk mengelakkan pulmonary embolism?’

Ada beberapa langkah yang boleh anda amalkan untuk mengelakkan penyakit darah beku pada saluran darah atau pulmonary embolism sekiranya anda tergolong dlm kumpulan berisiko tinggi:

Minum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi
Aktif bergerak dan berjalan
Menggunakan thrombo embolic deterrent-TED stokin (stokin khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki) pada waktu malam atau semasa menaiki penerbangan jauh
Ubat suntikan pencair darah. Sesetengah hospital akan memberi anda suntikan ini semasa mengandung atau selepas bersalin untuk tempoh masa tertentu dan perlu disuntik setiap hari. Suntikan ini terbukti berkesan untuk mencegah pembentukan darah beku dalam saluran darah. Sila rujuk kepada doktor sakit puan anda sekiranya ada berisiko tinggi dan memerlukan suntikan ini .

Kebanyak orang awam kurang mendapat pengetahuan mengenai masalah pulmonary embolism kerana kes ini jarang diumumkan di dalam surat khabar, berita atau media sosial. Ini merupakan faktor mengapa isu ini selalu dipandang ringan oleh orang ramai. Tetapi anda perlu ingat, kebanyakan mangsa menemui maut sebelum sempat sampai ke hospital. Dengan itu, sekiranya ada berisiko tinggi untuk mendapat penyakit darah beku atau pulmonary embolism, sila rujuk kepada doktor anda dengan segera terutamanya jika ada mengalami simtom awal seperti dinyatakan di atas. Pencegahan awal lebih baik daripada penyesalan. Jangan biarkan ibu kepada anak anda pergi dan tak akan kembali lagi.

Dr. Mardiana Kipli M.D (UNIMAS) merupakan seorang pakar Obsterik dan Ginekologi yang bertugas di Kuching.

Rujukan:

Reducing The Risk of Venous Thromboembolism In Pregnancy and Puerperium. RCOG Green-top Guideline. 37a; 2015
Oportus SL. Rodrigues LP et al. Lymph Drainage in Pregnant Women. NCBI;2013
Nelson Piercy C. handbook of obstetric medicine. Informa healthcare 2010; 4:19-39
Arulkumaran S. Training in Obstetrics and gynaecology, the essential curriculum. OST 2009;1:224-226

SUMBER

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...