Sunday, 19 May 2013

Tersenyum Pada Takdir...

Apa yang membuatkan kita akan tersenyum menghadapi apa jua takdir ALLAH??? Setelah melalui pelbagai dugaan sehingga saat ini.. Ai berasakan apa yang masih mampu membuat Ai tersenyum menghadapi takdir ALLAH adalah kerana Ai percaya & yakin di atas segala qada' & qadar-Nya.. Walaupun adakalanya amat perit untuk ditelan dan amat sukar untuk diluah..

Ramai yang berasa bangga dengan kemewahan, kekayaan, kejayaan & kesenangan hidup di dunia ini.. Sehingga ada pula yang terlupa diri dan memandang hina pada kemiskinan orang lain..

Mungkin ada yang terlupa bahawa kemewahan dan kemiskinan itu adalah Qada' & Qadar ALLAH yang tiada siapa dapat menghalangnya.. Kadang-kala si kaya terlupa, kekayaan itu adalah ujian daripada Allah untuk melihat sejauh mana keimanan dan ketaqwaan hamba-nya.. Adakah si kaya sedar dalam kekayaannya itu, terdapat bahagian si miskin?? Si kaya akan menganggap si miskin, orang yang malas berusaha kerana itu terus dihimpit kemiskinan dan hanya tahu meminta-minta..

Contohilah Saidatina Siti Khadijah Binti Khuwalid.. Walaupun dikurniakan harta kekayaan yang melimpah-ruah tetapi beliau menjalani kehidupan secara bersederhana serta begitu prihatin kepada nasib golongan yang daif.. (Rujukan: 10 Tokoh Idola Muslimah; Terbitan: PTS Millennia S/B; m.s: 18)

Biarpun bergelar wanita hartawan ternama, namun cara cara hidup beliau sederhana sahaja, baik daripada segi makan, minum, pakaian mahupun gaya hidup.. Beliau begitu prihatin terhadap golongan yang tidak berkemampuan seperti fakir miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim yang kelaparan.. Golongan seperti inilah yang sering kali mendapat perhatian dan diberikan bantuan.. (Rujukan: 10 Tokoh Idola Muslimah; Terbitan: PTS Millennia S/B; m.s: 19)

Si miskin pula, sentiasa berharap untuk menjadi kaya.. Ingin memiliki pelbagai benda yang ada di dunia..Sentiasa berusaha untuk mengecapi kemewahan yang diimpikan sehinggakan ada yang terhanyut dan sanggup melakukan apa sahaja demi mengejar kekayaan dunia..
Tirmizi, Baihaqi dan Mundziri ada merekodkan yang Aisyah pernah mendengar Nabi Muhammad berdoa; "Ya Allah, jadikanlah aku hidup sebagai seorang yang miskin. Cabutlah nyawaku dalam keadaan miskin. Kumpulkanlah aku pada hari kiamat nanti bersama golongan yang miskin." (Rujukan: Aisyah Keanggunan Sejati; Terbitan: PTS Millennia S/B; m.s: 35)

Mendengar doa itu, Aisyah r.a. bertanya, "Mengapa berdoa seperti itu, wahai kekasih ALLAH?".. Baginda menjawab, "Orang miskin akan masuk syurga 40 tahun lebih awal daripada orang kaya. Wahai Aisyah, jangan sekali-kali menolak orang miskin walaupun kamu hanya mampu memberinya separuh biji kurma. Wahai Aisyah, cintailah orang miskin dan dekatkanlah mereka kepadamu supaya ALLAH juga mendekatkanmu kepada-Nya pada hari kiamat nanti." (Rujukan: Aisyah Keanggunan Sejati; Terbitan: PTS Millennia S/B; m.s: 36)

Selain itu, terdapat juga insan yang bangga diri dengan kecantikan rupa parasnya dan memandang hina pada orang lain.. Kecantikan yang dikurniakan ALLAH juga adalah salah satu ujian-Nya.. Jangan menganggap kecantikkan wajah, mahupun tubuh anda itu hak milik mutlak anda.. Sesungguhnya, semua itu hanyalah pinjaman sementara.. Sekelip mata ALLAH boleh menarik semula anugerahnya itu.. Bersyukur dengan nikmat kecantikkan, bukanlah dengan mendedahkannya kepada umum sebaliknya menjaganya menutup aurat mengikut ajaran Islam..

Contohilah Nabi Yusuf Bin Yaakub.. Apabila meningkat dewasa, ketampanan dan budi pekerti Nabi Yusuf semakin terserlah bahkan menjadi buah mulut penduduk setempat.. Malah Zulaikha (ibu angkat baginda) turut menaruh perasaan terhadap baginda.. Demi untuk memelihara keimanan dari terjerumus ke lembah kesesatan dan godaan syaitan serta tipu daya wanita, Nabi Yusuf berdoa: "Wahai Tuhanku! Penjara itu lebih aku gemari daripada apa yang mereka ajak akan daku padanya." Hal ini telah disebut di dalam Al-Quran, Surah Yusuf ayat 33..

Doa Nabi Yusuf telah diperkenankan ALLAH, lalu Nabi Yusuf telah diperintahkan oleh raja untuk dimasukkan ke dalam penjara.. Baginda dipenjarakan bukan kerana kesalahan yang dilakukannya tetapi untuk mengelak daripada berlaku perkara yang tidak diingini disebabkan oleh fitnah yang ditimbulkan oleh wanita-wanita yang menaruh perasaan terhadapnya.. (Rujukan: Siri 3: Kisah 25 Rasul - Nabi Yusuf; Terbitan: Kiddibird S/B; m.s: 13)

Kesimpulannya, kemuliaan seseorang itu bukan bergantung kepada berapa banyak hartanya atau bagaimana rupa parasnya.. Sebaliknya lebih kepada budi pekertinya dan amal ibadatnya yang mencari keredhaan ALLAH semata..


Nota Jari: Sekiranya kita menghadapi dugaan selain daripada coretan di atas, carilah suatu kisah (nabi atau sahabat-sahabat baginda) yang mampu memotivasikan diri kita.. Agar kita akan selalu tersenyum pada takdir..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...