Monday, 28 January 2013

Akhlak Rasulullah...

Rasulullah yang dicintai, bertubuh sedang-sedang sahaja. Perawakannya tidak terlalu tinggi namun tidak pula rendah. Baginda kelihatan lebih tinggi daripada orang yang rendah, dan lebih rendah daripada orang yang tinggi. Kulitnya tidak putih melepak dan tidak juga sawo matang, tetapi kulitnya putih kemerah-merahan seperti terbentuk daripada perak.

Kepalanya besar, begitu juga tulang sendinya, wajahnya agak bundar dan pancarannya cerah bagaikan rembulan di saat purnama. Rambutnya ikal bergelombang, tidak terlalu kerinting dan tidak pula lurus kaku. Warna rambutnya kehitam-hitaman, tumbuh lebat dan panjang sehingga mencapai cuping telinga.

Apabila baginda menyisirkan rambutnya, dibelah dua dengan rapi. Uban yang ada dirambutnya tidak lebih daripada 20 helai. Dahinya lebar, alisnya melengkung bagaikan dua bulan sabit yang terpisah. Belahan matanya lebar, hitam pekat dan bulu matanya lentik.

Hidungnya mancung, pada puncaknya terdapat cahaya memantul sehingga orang menyangka hidungnya lebih mancung daripada yang sebenarnya.

Mulutnya lebar serasi dengan wajahnya. Giginya teratur dan gigi serinya agak renggang apabila baginda berbicara ada cahaya yang memancar keluar dari kedua gigi serinya itu.  Dagunya tidak lancip, janggutnya tebal, kedua pipinya mulus, lehernya mulus dan tegak.

Badannya tidak gemuk namun berisi. Dada dan perutnya sejajar. Dadanya bidang, jarak antara kedua bahunya lebar. Bahunya juga bidang, di antara kedua bahunya terdapat tanda kenabian sebesar telur burung dara. Bulu dadanya memanjang dari dada sehingga ke pusat. Badannya tidak ditumbuhi bulu, tampak bersih bercahaya.

Kedua ruas tulangnya tangannya panjang. Telapak tangan yang lebar dan kakinya terasa tebal, tumitnya tipis. Apabila baginda berjalan diangkat kakinya dengan tegap. Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan sopan. Jalannya pantas seakan-akan sedang turun ke tempat yang rendah.

Al Bara bin Azib mengatakan apabila Rasulullah memakai pakaian merah, tiada seorang pun yang lebih tampan daripadanya. Jabir bin Samurah pula bersaksi pada suatu malam purnama, ketika Rasulullah mengenakan pakaian berwarna merah, "Aku berganti-ganti memandang wajah Rasulullah dengan rembulan, ternyata baginda lebih indah daripada rembulan."

Apabila baginda menoleh kepada seseorang, seluruh badannya ikut berpaling. Apabila berjabat tangan baginda yang terakhir melepaskan tangannya. Pandangannya penuh makna, matanya terarah ke bawah sehingga pandangan ke bumi lebih lama daripada pandangan ke langit.

Apabila ada sahabat berjalan, baginda berjalan dibelakang dan apabila bertembung, baginda menyapanya dengan salam. Baginda berjiwa besar dan berwibawa. Hatinya pemurah di antara semua manusia. Ucapannya adalah perkataan yang paling benar antara semua orang. Sifatnya lemah lembut dan paling ramah dalam pergaulan. Sesiapa pun yang menatapnya, pasti menaruh rasa hormat kepadanya. Siapa yang pernah berkumpul dengannya dan mengenalinya tentu mencintainya.

Setiap yang menceritakan sifatnya pasti berkata, "Belum pernah aku melihat sebelum ataupun sesudahnya manusia seistimewa baginda." Anas berkata, "Aku mengabdikan diriku kepada Rasulullah selama 10 tahun dan selama itu baginda tidak pernah bertanya kepada aku mengapa aku kerjakan itu dan mengapa aku tidak mengerjakan ini."

Ibnu Umar berkata, "Rasulullah tidak pernah bersikap sambil lewa dan tidak pernah mengatakan sesuatu yang tidak baik."

Pada suatu ketika, seorang Arab Badwi menarik pakaian baginda dengan kasar sehingga menyakitinya dan berkata, "Wahai Muhammad, berikan aku hadiah daripada kekayaan Allah yang engkau miliki." Rasulullah berpaling kepadanya dan tertawa, lalu memerintahkan supaya si Arab Badwi itu diberikan hadiah.
Dipetik daripada Kitab Hadis at-Tirmidzi

Dipetik daripada buku : Mengapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit;  m/s: 209-211  Lampiran 1 - Akhlak Rasulullah
Penulis : Dr. Adi Hashman;     Terbitan : PTS Millennia S/B


Nota Jari : Ya Allah, betapa mulianya akhlak kekasih-Mu, Nabi Muhammad s.a.w... Semoga kami sebagai umatnya dapat mempraktikkan sifat-sifat terpuji baginda.. Jauhkanlah kami daripada berpecah-belah dan satukanlah hati-hati kami demi memperjuangkan dan meneruskan ajaran agama-Mu yang suci.... Aminnnn...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...